LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Saturday 4 August 2012

Medan Rasa


Aspek-aspek yang berkaitan dengan teknik penciptaan puisi yang mempengaruhi pengucapan dan perasaan penyair atau pembaca.

Bentuk (form): susunan luaran puisi yang merangkumi jumlah kata, suku kata, baris, bait, skima rima dan pembahagian unit (misalnya pembayang dan maksud bagi pantun).

Struktur / binaan (structure): susunan dalaman puisi seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun, perkaitan antara anak kalimat dan induk kalimat dalam gurindam dan seloka.

Timbangan (suku kata, kata, baris, rangkap, visual, skima rima): ciri dan sifat yang menentukan keharmonian pengucapan kata atau bahasa puisi.

Ciri dan sifat: Aspek-aspek khusus yang menjelaskan puisi-puisi berlainan. Biasanya dilihat daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan fungsi.

Perbandingan bentuk: Membandingkan perbezaan dan persamaan antara puisi berlainan daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan lain-lain.

Sesungguhnya puisi (sama ada tradisional mahupun moden) merupakan pancaran akal budi masyarakat pada sepanjang zaman. Penghayatan puisi membolehkan kita mencungkil rahsia peribadi manusia, bangsa dan ketamadunan wilayah yang melahirkannya.

Medan Kata


Medan kata merujuk kepada unsur-unsur serta gaya pemakaian bahasa sesebuah puisi. Ruang lingkup medan kata adalah seperti yang berikut:

Diksi : Pemilihan dan penggunaan kata khusus secara puitis yang ditulis secara sedar untuk melahirkan kesan rasa dan makna dalam puisi. Diksi yang baik dinilai daripada aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan.
Contohnya:  berkerlipan bintang kejora

Imej / citra alam: Gambaran atau tiruan bentuk atau objek alam yang tergambar dalam fikiran, dicipta atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkrit kepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan  objek alam bagi menggambarkan kesan rasa dan makna.
Contoh: bulan, laut, bunga mawar, selasih, rama-rama, undan

Kiasan: Kata atau ungkapan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu dengan cara bersandarkan atau membandingkan sifanya dengan sesuatu yang lain agar pernyataan menjadi lebih jelas dan memberi kesan serta makna khusus. Mungkin dalam bentuk bandingan atau tanpa bandingan.
Contoh: pahit bagai hempedu; tinggi menggunung

Rima: Persamaan gugus kata daripada segi vokal atau konsonan yang timbul pada awal, tengah, dan hujung baris puisi. Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada susunan perkataan dalam sebaris puisi dikenali rima dalaman.
Contoh: sekuntum bunga biru
Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada hujung baris puisi dikenal sebagai rima luaran.
Contoh:
Sekuntum bunga biru
Yang luruh di penjuru itu
Adalah seorang aku
Yang merinduimu

Aliterasi: Pengulangan bunyi konsonan dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
Kelam menyelubugi malam

Asonansi: Pengulangi bunyi vokal dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
Melangkah gadis menahan denyutan

Rentak: Tingkahan tinggi-rendah, panjang-pendek, cepat-lambat suara sewaktu melafazkan puisi dan memberikan kesan perasaan terhadap suara pembaca.

Jeda: Titik perhentian seketika, perlaihan atas nafas sewaktu melafazkan puisi, berguna untuk menimbulkan kesan tumpuan dan imaginasi terhadap bahasa dan muzik kata; ditandai dengan (,) atau (;).
Contoh:
Kalau nak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si ranting pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan terkenang orang yang jauh.

Simili: Tamsil atau kiasan yang membandingkan dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama secara langsung, menggunakan perkataan bandingan. Contoh:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Metafora: Kiasan atau analogi yang melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain bagi menyarankan antara kedua-duanya terdapat kesamaan tanpa menggunakan kata bandingan.
Contoh:   lautan kasih, gunung harapan, api kemarahan

Personifikasi: Bandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda, objek, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak.
Contoh:
Bulan tersenyum rawan
Damai melambai senja
Beburung bersiul girang

Hiperbola: Kiasan dalam bentuk ungkapan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan, digunakan bagi menguatkan makna.
Contoh: 
perahu lilin layar kertas
menyeberangi lautan api
menggapai gunung nan tinggi

Sinkof:  Singkatan kata untuk mempercepat rentak bahasa atau merendahkan perasaan / emosi. Contoh: ku, mu, tak, dah

Inversi: Pembalikan kata untuk menguatkan kesan rasa terhadap sesuatu.
Contoh:
Akan kupinta l buih-buih,
Menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang,
Menjadi hamparan ranjang tidurmu.

Anafora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada awal baris dalam dua baris atau lebih. Contoh:
Aku cinta padamu laut
Aku sayang padamu camar
Aku rindu padamu kedamaian

Epifora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada akhir baris bagi dua baris atau lebih. Contoh:
Sekuntun bunga biru
Sehampar laut biru

Imejan: Puisi yang mengandungi banyak perkataan yang menggambarkan objek atau perlakuan yang membentuk simbol, lambang atau kod untuk menggambarkan sikap dan perasaan penyair. Contoh:
Segar angin laut
Mengembalikan rindunya pada kolek
Bagi buih kecil
(angin, laut, kolek, buih kecil – imej kepada kehidupan nelayan yang  
miskin)

Nada: Sikap pengarang terhadap objek atau ideanya, mungkin bercorak romantis,

Melakolis, patriotis, sinis, dan lain-lain. Dalam puisi, nada lahir daripada gabungan atau variasi unsur diksi, rima, aliterasi, asonansi, imejan dan simbol. Contohnya, sajak “Keindahan yang Hilang (Kerusi halaman 15) bernada sedih dan melankolis.


Friday 3 August 2012

Medan Makna

Medan makna merujuk kepada perkara-perkara yang membantu menjelaskan gambaran idea penyair atau isi sesebuah puisi. Medan makna dapat diperincikan seperti yang berikut:

Maksud (isi) :  
Gambaran idea yang terkandung dalam puisi.

Tema :
Inti atau isi pokok (persoalan pokok) yang hendak disampaikan oleh penyair.

Peroalan:
Isi-isi sampingan yang membentuk inti atau isi pokok.

Perutusan / amanat / pengajaran / mesej:
Gagasan nilai dalam idea puisi.

Sikap dan perasan:
Penggunaan diksi atau ungkapan yang menggambarkan kesan emosi dan pemikiran penyair sewaktu menghasilkan puisi.

Unsur nilai murni:
Memahami nilai dan norma kehidupan untuk dteladani dan digunakan secara bijaksana.

Sejarah genre:
Memahami latar belakang perkembangan puisi.

Biodata penyair:
Pengetahuan tentang penyair, sejarah hidup, pengalaman, sumbangan dan himpunan karya untuk membantu pembaca lebih memahami karya serta menanamkan minat terhdap sastera.

Penghasilan karya:
Menghasilkan puisi secara terancang dan terbimbing mengikut prinsip penulisan kreatif.

Aspek Dasar Puisi


Untuk menghayati sesebuah karya puisi, sama ada puisi tradisional atau puisi moden, kita haru memahami beberapa istilah yang menjadi dasar kepada penghasilan sesebuah puisi itu. Isitilah tersebut termasuklah:
(i)            MedanMakna
(ii)          MedanKata
(iii)         MedanRasa

Thursday 2 August 2012

Ciri-ciri dan Jenis Puisi


Pada umumnya, puisi mempunyai ciri berikut:
Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.
(i)            Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional, berpola (bagi puisi tradisional) atau berbentuk bebas (bagi sajak).
(ii)           Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.
(iii)          Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi puisi tradisional) atau tanpa ikatan pola tertentu (bagi sajak) yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi  dan panjang-pendek perkataan.
(iv)          Bagi puisi tradisional, wujud pembahagian unit dalam penyataan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.
(v)           Digunakan dalam kehidupan masyarakat seharian untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaraan dan sebagainya. Puisi berfungsi juga sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya.
(vi)          Ada puisi tradisional yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan system kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu, misalnya ungkapan Adat Pepatih.
(vii)        Bahasa yang padat, kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan sama ada bersifat tradisional atau moden untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan.


Jenis Puisi

Puisi, sebagai satu genre kesusasteraan, terbahagi kepada dua jenis utama iaitu puisi tradisional dan puisi moden iaitu sajak. Dalam teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas), puisi tradisional mempunyai beberapa sub-jenis lagi. Sub-sub puisi tradisional adalah seperti yang berikut:
-       Pantun
-       Syair
-       Gurindam
-       Seloka

Konsep Puisi


Puisi sering dianggap objek yang kabur dan menakutkan. Banyak orang yang cuba menjelajahinya tersesat dalam rimba puisi yang gelap dan misteri itu. Namun, wajar diakui bahawa untuk menerokai daerah puisi, seseorang harus berbekalkan kematangan kata, kebijaksanaan makna dan kelunakan rasa. Sesungguhnya, apabila seseorang telah berupaya menerobos ruang makna sesebuah puisi, maka ia telah mencapai darjah kebahasaan tertinggi. Tidak ada lagi tingkat kebahasaan yang lebih tinggi selain bahasa puisi. Seserang pujangga yang mencipta puisi mengikut T.S. Eliot (1993) ialah “arkitek yang membina keindahan pengalaman dengan kecantikan bahasa secara bijaksana”.

            Za’ba (1962:218)  yang mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap, dilihat memberikan tafsiran yang agak umum dan kabur walaupun terdapat penegasan tentang konsep kecantikan puisi tersebut. Katanya:
“Karangan berangkap itu khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.Maka, dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”

            Struktur karangan berangkap yang dimaksudkan Za’ba merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi. Katanya:
            “Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarag cara baharu sekarang, karangan demikian disebut “puisi” (berlawanan dengan “prosa” iaitu karangan lurus sahaja).

            Sebait puisi juga merupakan alunan rasa dalam kilasan imaginasi si penyajak seperti yang dikonsepkan oleh William Worsdworth (1988:4) iaitu “suatu pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak dan berlaku secara spontan dalam suasana tenang”.

            Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa puisi ialah ciptaan yang indah daripada aspek bentuk dan isi sehingga mendorong Samuel Taylor Coleridge (1988:4) menganggap puisi sebagai “the best words in their best order”.

            Kecantikan bentuk harus pula diharmoniskan oleh keutuhan makna dan keanjalan rasanya. Oleh sebab itu, Muhammad Haji Salleh (1988:10) melihat puisi sebagai “…bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana. Bukanlah puisi nama andainya ia tidak berupaya membijaksanakan pembaca.”

            Tanggapan beliau selari dengan pandangan Robert Frost (1988:54) yang menegaskan bahawa proses penikmatan puisi sebagai “it begins in delight and ends in wisdom.”

            V.I Braginsky (1994:2) pula menyatakan bahawa untuk menikmati karya sastera termasuk puisi, seseorang pembaca mungkin mencapai salah satu atau semua tiga tingkat sfera fungsional di bawah:
·         Sfera mengharmonikan kekacauan kesan-kesan psikik / pengubatan psikik / psikoterpi jiwa / hiburan
·         Sfera faedah / manfaat / alat penghayatan intelektual / cerminan didaktik
·         Sfera kesempurnaan rohani / kamal / penghayatan intuitif berhubungan dengan Allah

Ralph Waldo Emerson (1988:6) pula berpandangan bahawa “puisi membawa makna sebanyak mungkin dalam kata-kata sedikit mungkin.”

            Bagi khalayak sastera Melayu, penggunaan istilah “puisi” masih agak baru. Mereka lebih sering menggunakan istilah “sajak”. Oleh itu, Muhammad Hj Salleh (1988: 1-4) membezakan konsep sajak dan puisi. Mengikut beliau:
            “Istilah sajak sekarang ini digunakan secara agak longgar dan sering disamaertikan dengan puisi. Tetapi, maknanya yang lebih tepat dan diterima di kalangan pengkaji kesusasteraan ialah bahawa sajak itu suatu bentuk moden yang lebih bebas dan seterusnya rangkapnya tidak terikat atau menyalin bentuk-bentuk tradisional seperti pantun dan syair dan membawa suasana serta pandangan hidup yang lebih moden.”

            Dalam hal ini, Muhammad Hj Salleh menegaskan bahawa sajak ialah karya ringan yang belum sampai ke peringkat sastera, sementara puisi ialah karya yang telah mencapai tahap tinggi dalam tema, bahasa dan teknik sehingga wajar digolongkan sebagai hasil sastera.

            Sehubungan dengan itu, Harun Mat Piah (1989:1) berpendapat bahawa tiada satu definisi umum yang dapat diaplikasikan dengan tepat kepada konsep puisi seperti yang difahami oleh masyarakat kesusasteraan Melayu. Oleh itu, beliau berpegang pada tanggapan iaitu puisi sebagai satu bentuk pengucapan bahasa dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari.

            Jelaslah bahawa dari jurus mana pun, seseorang memandang puisi, hakikatnya sebagai satu bentuk genre kesusasteraan. Puisi merupakan manipulasi aksara yang terjelma daripada kesepaduan medan kata, medan  makna dan medan rasa hasil proses kreatif imaginatif Sang Pujangga. Kerap kali puisi membawa bersamanya amanat budi rasa, budi fikir masyarakat yang digarap secara misterius religius. Hal ini sedikit sebanyak mengesahkan pendapat umum bahawa puisi ialah seni sastera yang aneh dan tak tentu.

Wednesday 1 August 2012

Agihan Tajuk BMM3116


Maklumat Agihan Topik-topik Dalam Kursus Proforma Yang Dimodulkan Dan Yang Memerlukan Interaksi Bersemuka

Kod & Nama Kursus: BMM3116 Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Melayu



AGIHAN TAJUK


Kandungan modul ini akan menggantikan satu kredit bersamaan dengan 15 / 30 jam interaksi bersemuka. Jadual di bawah menjelaskan agihan tajuk-tajuk untuk interaksi bersemuka atau pembelajaran melalui modul.

(Agihan Tajuk Interaksi Bersemuka dan Modul Mengikut Kursus Proforma )

Bil.
Tajuk/Topik
Interaksi
Bersemuka
(jam)
Modul
(jam)
Jumlah
Jam

1

Sastera Dalam Pengisian Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah
  • Unsur dan bahan sastera, kemahiran bahasa
  • Ilmu, nilai, dan kewarganegaraan
  • Peraturan sosio budaya dan kemahiran bernilai tambah

3
0







3

2

Pendekatan Pemahaman Teks
  • Kaedah Struktural
  • Kaedah Mengalami Menghayati

0
3



3

3

 

Pendekatan Pemahaman Teks
·           Kaedah Berfokus
·           Kaedah Global

1
2



3

4

 

Teknik dan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

·           Pantomim, Mestamu
·           Deklamasi
·           Khat

3
0


3
5

Teknik dan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

  • Pemaduan Seni
  • Adaptasi, Kerusi Panas
  • Boneka

3
0




3
6

Teknik dan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

·         Teater Pembaca,
      Teater Bercerita
·         Improvisasi
·         Kemahiran Berfikir

3
0




3
7
Sastera Bandingan
  • Interteks, parodi
  • Contoh hasil karya

0
3


3
8
Sastera Kanak-Kanak dan Remaja
  • Latar Belakang
  • Karya dan Tokoh
  • Sastera Kanak-Kanak dari Perspektif Pendidikan

0




3




3
9
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
  • Prosa Tradisional
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa

3



0



3
10
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
  • Prosa Moden (Cerpen dan Novel)

3


0




3
11
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
  • Prosa Moden (Drama)
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa
3


0


3
12
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
·           Puisi Tradisional (Pantun dan Seloka)
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa

2



1



3
13
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
  • Puisi Tradisional (Syair dan Gurindam)
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa

2




1




3
14
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
·           Puisi Tradisional
       (Lagu Rakyat)
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa

2



1



3
15
Apresiasi Teks Sastera Sekolah Rendah
  • Puisi Moden (Sajak)
-          Struktur, Fungsi, Ciri Bahasa

2
1



3

JUMLAH
30
15
45