LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Thursday 2 August 2012

Ciri-ciri dan Jenis Puisi


Pada umumnya, puisi mempunyai ciri berikut:
Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.
(i)            Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional, berpola (bagi puisi tradisional) atau berbentuk bebas (bagi sajak).
(ii)           Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.
(iii)          Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi puisi tradisional) atau tanpa ikatan pola tertentu (bagi sajak) yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi  dan panjang-pendek perkataan.
(iv)          Bagi puisi tradisional, wujud pembahagian unit dalam penyataan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.
(v)           Digunakan dalam kehidupan masyarakat seharian untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaraan dan sebagainya. Puisi berfungsi juga sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya.
(vi)          Ada puisi tradisional yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan system kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu, misalnya ungkapan Adat Pepatih.
(vii)        Bahasa yang padat, kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan sama ada bersifat tradisional atau moden untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan.


Jenis Puisi

Puisi, sebagai satu genre kesusasteraan, terbahagi kepada dua jenis utama iaitu puisi tradisional dan puisi moden iaitu sajak. Dalam teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas), puisi tradisional mempunyai beberapa sub-jenis lagi. Sub-sub puisi tradisional adalah seperti yang berikut:
-       Pantun
-       Syair
-       Gurindam
-       Seloka

No comments: