LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Saturday 4 August 2012

Medan Rasa


Aspek-aspek yang berkaitan dengan teknik penciptaan puisi yang mempengaruhi pengucapan dan perasaan penyair atau pembaca.

Bentuk (form): susunan luaran puisi yang merangkumi jumlah kata, suku kata, baris, bait, skima rima dan pembahagian unit (misalnya pembayang dan maksud bagi pantun).

Struktur / binaan (structure): susunan dalaman puisi seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun, perkaitan antara anak kalimat dan induk kalimat dalam gurindam dan seloka.

Timbangan (suku kata, kata, baris, rangkap, visual, skima rima): ciri dan sifat yang menentukan keharmonian pengucapan kata atau bahasa puisi.

Ciri dan sifat: Aspek-aspek khusus yang menjelaskan puisi-puisi berlainan. Biasanya dilihat daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan fungsi.

Perbandingan bentuk: Membandingkan perbezaan dan persamaan antara puisi berlainan daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan lain-lain.

Sesungguhnya puisi (sama ada tradisional mahupun moden) merupakan pancaran akal budi masyarakat pada sepanjang zaman. Penghayatan puisi membolehkan kita mencungkil rahsia peribadi manusia, bangsa dan ketamadunan wilayah yang melahirkannya.

No comments: