LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Pantun

Klik pautan untuk muat turun bahan.

Kesusasteraan Melayu - Pantun
Pantun

.................................................................................................


Pantun ialah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan Melayu betul (1961).  Semenjak orang Melayu belum tahu surat-menyurat  pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun  antara mereka.  Penciptaannya terkandung dalam dua rangkap, empat rangkap, enam rangkap, lapan rangkap, dua belas rangkap dan pantun berkait.  Dalam apa juga bentuk fizikalnya pantun merupakan pengungkapan yang mengandungi unsur pembayang maksud dan maksud.

Penciptaan Pantun

Sastera Melayu di Malaysia dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang kehidupan dan pemikiran mereka  dibentuk dan dipengaruhi oleh alam sekitar dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka.  Dalam konteks orang Melayu di Malaysia,  kepercayaan terhadap Allah ialah kepercayaan yang mutlak bagi mereka untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah s.w.t.  Kenyataan ini dapat dilihat daripada penggunaan unsur alam dan kepercayaan kepada Allah s.w.t di dalam penyampaian mesej puisi (termasuk pantun). Unsur alam merujuk kepada elemen-elemen alam fizikal atau  alam nyata (inderawi) yang dapat dilihat, didengar, disentuh dan dirasai melalui pancaindera manusia.  Alam fizikal ini merupakan satu lapisan dari seluruh alam.  Lapisan yang lain ialah alam metafizikal yang merupakan lapisan atau bahagian alam yang tidak terlihat oleh mata kasar manusia.  Fenomena ini biasanya disebut sebagai alam ghaib, iaitu bahagian alam yang sepenuhnya berada di dalam kelebihan ilmu Allah s.w.t (2006).

Unsur Alam dalam Pantun

Sebagaimana yang dijelaskan dalam perenggan terdahulu, unsur alam ialah segala-gala yang boleh (berupaya) dilihat, didengar, dan dirasai (dengan deria sentuh dan perasaan) oleh insan dan makhluk yang lain.  Maksud  boleh pula ialah, manusia boleh membuat sesuatu berdasarkan kuderat dan kerelevanan pancaindera yang dimiliki oleh manusia.  Mereka yang cacat, mungkin tidak boleh mendengar, melihat, dan merasai seperti mereka yang normal.  Namun, kita jangan lupa, bahawa mereka yang cacat [penglihatan] mungkin lebih tajam daya imiginasi mereka berbanding dengan kita yang normal.

Hal inilah yang dikatakan bahawa mata hati mereka (yang cacat penglihatan) lebih tajam derianya (perasaan) daripada manusia yang normal.  Mereka dapat bermonolog dan bermeditasi  dengan daya imiginasi yang lebih ampuh jika dibandingkan dengan mereka yang normal penglihatannya.   Begitu juga yang cacat pendengaran, mungkin daya agakan mereka lebih tajam, iaitu seumpama lintah di dalam air yang tajam pendengaran lalu hanya dengan melalui riak dan getaran air, si lintah akan datang kepada objek yang menyebabkan kocakan atau riakan air itu.  Demikian juga rasa sentuhan, deria sentuh dan rasa (perasaan).  Yang cacat pendengaran dan penglihatan mungkin  lebih tajam daya rasa dan perasaan berbanding dengan insan yang normal.

Selaku manusia yang normal, kita amat bertuah kerana dengan kenormalan itu kita dapat mencetuskan idea bagi menghasilkan puisi yang baik.  Oleh itu, penggunaan unsur alam akan dilihat lebih membawa makna yang lebih dari sekadar maknanya yang harfiah.  Unsur ini perlu ditafsir bagi menghayati makna yang sebenar.  Tuntutan untuk melaksanakan tafsiran bagi menemukan makna ini memberi implikasi bahawa kesusasteraan memiliki sifat zahir dan batin atau yang tersurat dan yang tersirat  (Hashim Awang, 2002). Muhamad Haji Salleh (1999), memberi pandangan bahawa manusia Melayu membaca dan mentafsir kejadian alam untuk memahami sesuatu yang telah berlaku atau sesuatu yang akan berlaku (ramalan). 

Alam sering dilihat seperti mengetahui perasaan manusia dan menyebelahinya dalam menyediakan tanda, memberi peringatan atau pun merayakan sesuatu peristiwa dan keadaan.  Alam membayangkan kebenaran.  Maka bayangan ini selalu dicari oleh pemikir dan pengarang untuk dipindahkan ke dalam karya mereka.  Misalnya, unggas atau ayam akan berbunyi menandakan sesuatu (seperti manusia dan bukan manusia) akan datang dan terbit waktu fajar  pada waktu subuh. 

Mengikut Za’ba (1934)  perlambangan atau teknik yang sengaja menyamarkan citra dan makna adalah salah satu teknik utama sastera Melayu yang bukan sahaja digunakan dalam pantun tetapi juga dalam naratif yang lain.  Menurut pendapat Pendeta ini, hal ini demikian kerana dalam pemikiran sastera, sekurang-kurangnya pantun, hikayat dan beberapa bentuk yang berkaitan, sesuatu yang lebih  misterius.  Oleh itu, segala-galanya akan lebih mencabar akal fikiran khalayaknya.

Unsur-unsur Lain dalam Pantun

Menurut kajian,  selain pencernaan pemikiran melalui alam sekitar dan persekitaran, penyair Melayu Islam yang lama (2006) menggunakan sumber yang lebih autentik dan jelas, iaitu melalui pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam al-Quran.  Karangan mereka lebih bersifat falsafah dan pemikiran.  Salah satu  contoh yang baik ialah Syair Ma’rifat karya Syeikh Abdul Rauf al-Singkel, seperti contoh yang berikut:

Baik-baik tuan menerima
Kepada pohon ialah seumpama
Daun dan buah tiada sama
Masing-masing berlain-lain nama
Sebiji kelapa ibarat sama
Lafaznya empat suatu makna
Di situlah banyak orang terkena
Sebab pendapat kurang sempurna

Kulitnya itu ibarat syariat
Tempurungnya itu ibarat tarekat
Isinya itu ibarat hakikat
Minyaknya itu ibarat makrifat
Jikalau kita amat-amati syair Ma’rifat  baris demi baris, unsur alam, iaitu pokok kelapa digunakan secara terperinci untuk menggambarkan konsepsi agama seperti tarekat dan  makrifat.  Demikian juga jika kita biasa mendengar bait-bait lagu nasyid yang antara lainnya berbunyi seperti yang berikut:

Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang, apa gunanya?

Mukadimah yang di atas dan beberapa sub topik yang berikutnya bukanlah tujuan kertas kerja ini disediakan.  Pengenalan yang diberi di atas bertujuan supaya pembaca memahami asal-usul terciptanya karya puisi yang di dalamnya termasuklah pantun.  Oleh yang demikian, perhatian pemakalah ditumpukan kepada  kaedah atau cara (definisi yang diskopkan pemakalah) pantun dicipta oleh pengkaryanya.

Kaedah Penciptaan Pantun

Pelbagai kaedah pantun boleh dicipta oleh pengkarya.  Sebelum pemakalah menerangkan penciptaan pantun, elok rasanya  pemakalah kaitkan perbincangan ini dengan sumber yang menjadi ilham bagaimana pantun dicipta.

Pengamatan Unsur Alam

Unsur alam amat banyak.  Semua unsur ada di sekeliling manusia (manusia juga adalah salah satu unsur alam).  Unsur alam yang dimaksudkan ialah manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna, serangga, unggas, batu-batan, laut, sungai, tasik, teluk, karangan laut, dedaun, rumpai, bunyi benda hidup dan benda tidak hidup, kematian, peperangan, pelangi, warna, ombak, gelombang, pasir, denai, jalan, jalan raya, lebuh raya, lorong, perahu, kapal, lancang, anign, pulau, arah, utara, selatan, timar, barat, sampan, dan sebagainya.  Setelah mengamat-amati unsur yang sedemikian, kita susun supaya menjadi ayat (bait / baris)  dengan ikatan atau satuan yang kukuh dan bermakna serta munasabah.  Contoh;]

Lancang pilan dari selatan,
Angin bertiup dari utara;
Hilang pulau lenyap daratan,
Namun laut berombak juga. (Zainal Abidin Bakar:, 1984: 214)

Unsur alam

Lancang pilan (nama sejenis lancang / perahu), selatan, angin, utara, pulau, daratan, laut, dan ombak.

Ikatan / satuan / kohesi pembayang maksud

Lancang pilan didayung dari arah selatan tetapi terpaksa menempuh angin yang datang dari utara.  Hal ini memungkinkan pelayaran yang sukar dan pelayar mungkin dipukul ombak yang besar!

Ikatan / satuan / kohesi maksud

Jika ditakdirkan pulau tiada dan daratan lenyap, ombak dilaut akan tetap beralun juga.

Maksud tersirat

Untuk menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Allah, kita kena yakin bahawa laut adalah satu daripada ciptaan Allah yang amat kita kagumi.  Hal ini dapat dilihat betapa tidak pernah di mana-mana laut pun ombaknya berhenti daripada menghempaskan dirinya di pantai.  Atau laut tetap kukuh, teguh, dan kekal hingga hari kiamat!

Konstruk Pantun

Jumlah suku kata yang terdapat dalam baris pertama 9, baris kedua 10, baris ketiga 9, dan baris keempat 9 suku kata.  Jumlah suku kata yang sebegini dianggap baik dan sesuai untuk ekspresikan oleh pemantun.

Pantun Melayu Merealisasikan Pemikiran  (penjelasan) Maksud

Pemikiran yang terdapat dalam baris ketiga dan keempat  adalah untuk menunjukkan betapa laut adalah ciptaan Allah yang amat hebat.  Namun, jika diandaikan pulau di tengah laut hilang dan darat lenyap daripada kelompok tertentu, ombak yang setiap saat memukul pantai pasti ada, selagi bumi ini berpusing dan berpusing mengelilingi matahari.

Pembayang maksud

Pemikiran yang terdapat dalam pembayang maksud adalah dalam dua baris awal pantun empat kerat.  Pemikiran yang ingin disampaikan oleh pemantun ialah fenomenon alam yang dimanfaatkan oleh manusia dengan membuat pelayaran di laut arah ke selatan.  Namun, akibat daripada kealpaan manusia yang tidak  tahu meramal apa-apa, maka angin dari utara pula yang akan memberi cabaran serta kemungkinan juga pelayaran itu akan menerima musibah.

Perkaitan wacana: dalam pembayang dan maksud

Untuk mencipta pantun, si pemantun haruslah memikirkan aspek wacana dan kemanusabahan semantik atau erti.  Maksud pemakalah ialah si pemantun harus memikirkan urutan atau rentetan atau tautan cerita atau hal atau fakta yang terdapat dalam baris pertama dan kedua yang juga berfungsi sebagai pembayang maksud (2006).  Hal ini terkecuali jika si pemantun ingin memikirkan makna yang tersirat atau makna berlapis atau sindiran kepada pendengarnya.  Sila perhatikan contoh pantun yang berikut:

Pohon beringin daunnya hijau,
Pucuk petola diselak-selak;
Hati ingin hendak ke pulau,
Biduk ada pendayung tidak.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 179)

Jika kita teliti dari aspek wacana, pantun yang diambil perkataan yang menggunakan unsur alam ini wujud wacana dalam baris pertama, iaitu pohon atau pokok beringin, sejenis spesis pokok yang besar dan mempunyai daun yang hijau kerana pokok ini hidup dalam iklim khatulistiwa.  Kaitan baris pertama dengan baris kedua seolah-olahnya tiada.  Namun jika difikirkan asasnya, iaitu unsur alam, maka pemantun telah dapat memikirkannya dari sudut tumbuhan yang pelbagai tetapi digunakan contoh yang lain pula, iaitu pokok petola yang sifatnya menjalar, berdaun separa tua, dan berpucuk muda.  Sudah pastilah daun pada peringkat pucuk lebih lembut dan mudah untuk diselak.  Yang pasti ialah perbuatan menyelak itu manusabah dilakukan (oleh manusia) kerana pokok petola biasanya melilit pada panggarnya dan mudah dicapai oleh si penanamnya.  Oleh itu, daun petola yang muda mudah di selak-selak dan berkemungkinan si penanamnya ingin memeriksa daun petola sama ada terdapat ulat daun atau pun tidak.

Daripada aspek inilah yang dikatakan oleh pemakalah bahawa wacana telah wujud dan kemanusabahan makna terjelma.  Ringkasnya, wacana dalam baris pertama dan kedua dapat dibentuk. Wacana dalam baris keitga dan keempat tidak dapat dipertikaikan kerana baris ini merupakan maksud pantun yang menekankan aspirasi si pemantun, iaitu ingin menyatakan cita-cita hidupnya tetapi tidak tercapai akibat daripada ketidakcukupan syarat dan sebagainya.  Aspek ini mungkin di sebaliknya jika kita teliti pantun  yang berikut:

Anak Cina bermain congkak,
Anak Siam menunggang kuda;
Aku ketawa giginya rongak,
Berkahwin pula dengan si tua.

Mari kita fikirkan aspek wacananya.  Saya berpendapat dalam baris pertama, wacana budayanya meleset sama sekali!  Hal ini demikian kerana kebiasaannya anak kaum Cina tidak bermain congkak.  Mereka mungkin bermain gendang Cina – maksudnya, wacana seperti ini tidak mempunyai perkaitan dengan realtiti hidup dan budaya.  Fakta inilah yang merencatkan binaan dan penciptaan pantun.  Baris kedua demikian juga, iaitu anak bangsa Siam biasanya tidak biasa (lumrah) menunggang kuda.  Yang biasa ialah mereka menunggang gajah.  Jadi, pada pendapat pemakalah, baris pertama dan kedua selain tidak mempunyai kohesi, masing-masing dalam setiap baris juga tidak berkohesi antara baris.  Jika kita teliti baris ketiga dan keempat pula, mungkin baris ketiga boleh diterima sebagai jenaka tetapi kaitan yang tipis antara gigi yang rongak dengan rasa terlalu geli hati apabila mendapati yang rongak (sama lelaki atau wanita) berkahwin dengan pasangan yang tua.

Aspek ini perlu diamat-amati oleh pemantun supaya pantun yang merupakan milik budaya Melayu ini tetap terpelihara nilai estetika, wacana dan kemanusabahan maknanya.  Sila teliti pula pantun yang berikut:

Aur ditanam betung yang tumbuh,
Diparang oleh anak Cik Siti;
Kalau hati sesama teguh,
Kering lautan kita nanti. (2001:  379)

Kalau tuan mudik ke hulu,
Belikan saya ulam pegaga;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga. (2001:  411)

Buah berangan dari Palembang,
Dijual budak dalam kota;
Jangan tuan berhati bimbang,
Saya tidak berubah kata. (2001:  383)

Berdasarkan pantun di atas, bagaimanakah wacana dan kemanusabahan maknanya?

Rima pantun dan diksi

Rima, sebagaimana yang kita maklumi ialah bunyi yang sama pada huruf akhir atau suku kata akhir dalam sesuatu rangkap.  Dalam penciptaan pantun, rima bukan sahaja terjelma pada suku kata akhir bagi baris pertama dengan ketiga dan baris kedua dengan baris keempat; tetapi juga pada bahagian tengah (perkataan kedua) dalam baris pertama dengan baris ketiga dan pada bahagian tengah (perkataan kedua) dalam baris kedua dengan baris keempat.  Maksud pemakalah ialah bentuk ab; ab.  Tidak seperti syair, bentuk rimanya aaaa.  Di samping memikirkan rima,  penciptanya juga mestilah memikirkan diksi atau pemilihan kata yang akan digunakan.  Hal ini ada kaitan dengan perbincangan kita terlebih awal seperti dalam para 1.7 di atas.  Perhatikan pantun yang berikut:

Kalau tuan mudik ke hulu,
Belikan saya ulam pegaga;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga(2001:  411a)

Buah berangan dari Palembang,
Dijual budak dalam kota;
Jangan tuan berhati bimbang,
Saya tidak berubah kata(2001:  383a)

Jika diteliti rima yang dicetak tebal bagi pantun (2001: 411a) dan 2001:  383a), rima bagi perkataan kedua pada kedudukan baris pertama dan pada perkataan keempat dalam baris yang pertama sama dengan rima yang terdapat dalam baris ketiga.  Begitu juga, rima dalam baris kedua sama dengan baris keempat.  Aspek inilah yang  menunjukkan kesenian dan nilai estetika dalam penciptaan pantun Melayu.  Namun demikian, menurut Pendeta Za’ba (1962:  225)  fasal pertentangan bunyi tidaklah semestinya berkehendakkan sama betul satu huruf seperti ”nah” mesti dengan ”nah” juga.  Malahan, jika ”nah” dengan ”ngah” pun boleh juga asalkan seakan-akan serta sama huruf akhirnya.  Dalam pada itu, jika dapat yang sama serupa betul lagi baik.

Kaedah Mengujarkan  Pantun

Dalam majlis nyanyian dondang sayang dan majlis berbalas pantun yang tidak mempunyai teks umpamanya, jawapan pantun secara spontan memerlukan daya fikir yang tajam dan pantas.  Pada Hemat pemakalah, aspek inilah yang menentukan kebijaksanaan mereka yang berbalas-balas kata dalam bentuk berpantun.  Usaha ini bukanlah suatu yang mudah!   Oleh yang demikian, saya cadangkan langkah-langkah yang berikut  supaya jawapan balas daripada penjual dapat dibeli dengan tepat, kemas, dan menarik (kecuali pantun kabur/sindiran/dan mempunyai erti yang berlapis-lapis).

Si pembeli haruslah menumpukan sepenuh perhatian pada maksud yang ingin ditanya atau dijual oleh si penjual.  Selepas mendengar dan memahamimnya, si pembeli harus menyediakan jawapan atau menyediakan baris ketiga dan keempat.  Selepas itu, barulah dicari pembayang maksud dengan menggunakan unsur alam yang saya maksudkan dalam para 1 dan 1.1.
Si pembeli mestilah sentiasa bertenang.

Masukkan unsur humor atau lelucon, contohnya seperti pantun yang berikut:
Menengok kera dipeluk anjing
Banyak kijang berjalan turun;
Menengok orang tua duduk bersanding,
Banyaklah bujang meminum racun. (2001:  xiviii)

Jika ada had masa yang ditetapkan (untuk menjawab), sila patuhi masa yang diperuntukkan itu.

Sila ujarkan pantun dengan nada yang betul (bahagian ini akan disentuh kemudian).

Kekreatifan pemantun bergantung kepada kebolehan individu.  Kadang-kala kekreatifan ini bersifat semula jadi tetapi boleh dipelajari.

Keindahan bahasa

Keindahan pantun secara umumnya terkandung nilai-nilai keindahan visual sebagai ciri kepada pantun-pantun yang dianggap baik dan tipikal seperti yang berikut:
Sebagai puisi konvensional, pantun terdapat dalam keadaan berpasangan dan berangkap, daripada dua, empat, enam, dan seterusnya;  tetapi umumnya dalam empat larik serangkap, empat kata dasar selarik. Jika perkataan dalam larik mempunyai imbuhan, suku kata fungsional disarankan supaya berjumlah  lapan hingga dua belas suku kata (SK).  Di samping itu, terdapat kelainan atau variasi dari segi jumlah kata selarik dan jumlah larik serangkap.  Terdapat juga pantun dengan dua, tiga, atau lima perkataan selarik, dan mungkin lima, enam, atau tujuh larik serangkap; misalnya dalam contoh-contoh pantun berkait, khususnya daripada tradisi rejang dan mantera.

Dari segi rima, pantun mengekalkan pola rima a-b-a-b pada kedudukan akhir; mungkin terdapat rima dalaman, malah rima pada setiap perkataan dalam kedudukan sejajar; dan sebaik-baiknya, dalam semua kedudukan tergolong rima sempurna.  Di samping itu, terdapat variasi rima dalam   pola a-a-a-a seperti syair; malah mungkin serima (monorhyme) apabila rangkap-rangkap pantun tersebut berada dalam kedudukan berurutan.
Pantun yang indah terbahagi kepada dua unit; iaitu unit pembayang atau sampiran dan unit maksud; dan sebaik-baiknya memperlihatkan hubungan makna antara kedua-dua bahagian tersebut, baik hubungan langsung mahupun hubungan simbolis, iaitu melalui penggunaan unsur-unsur simbolisme.

Terdapat penggunaan perlambangan yang segar dan berkesan, baik yang bersifat konkrit mahu pun abstrak.  Perlembangan yang bersifat konkrit biasanya yang boleh dirasai melalui pancaindera sementara yang abstrak adalah melalui pemikiran dan pengalaman. Terdapat unsur-unsur retorik; teknik, keindahan yang terbina melalui penggunaan majaz, termasuk metafora, simili, personafikasi, ironi, hiperbola, metonimi dan lain-lain.

Terdapat unsur-unsur perulangan, baik dalam bentuk sejajar mahupun tidak, sesuai dengan ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa Nusantara; antaranya termasuklah fora, epifora, simplok, responsi, pengulangan kata akhir, asonansi, aliterasi, ajuk bunyi, dan lain-lain.  Unsur-unsur perulangan ini umumnya terdapat secara tabii, sesuai dengan sistem  bunyi, prosodi, dan eufoni bahasa Melayu; yang dibuat secara sedar untuk kepentingan rima dan lain-lain unsur diksi.

Pemantun juga harus memikirkan kepanjangan kalimat, pantun pada umumnya terdiri dariapda empat kata dasar selarik, dengan jumlah suku kata 8 – 11 suku kata (ini termasuk penggunaan imbuhan dan kata-kata fungsional).  Yang berikut dipetik beberapa contoh secara rawak bersama huraian yang relevan, khususnya pada aspek penggunaan alat-alat estetika yang dinyatakan di atas (2001:  ixv – ixx).  Aspek perulangan sejajar, anafora, epifora, responsi, ulangan kata akhir dan rima:

Air yang dalam bertambah dalam,
Hujan di hulu belumlah teduh;
Hati yang dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.

Bahagian pembayang hendaklah menggambarkan sesuatu keindahan alam sekeliling seperti warna yang cantik, bau yang wangi, bunyi yang sedap, daun-daun-daun, bunga-bunga, burung-burung, dan awan.  Maksudnya hendaklah cantik dan ringkas tetapi mengandungi tujuan yang luas atau susunan kata yang menarik hati.  Jika digunakan bahasa kias ibarat, pantun akan menjadi  lebih menarik lagi.

Jika boleh, masing-masing baris (perkataan) yang berjodoh itu hendaklah ada sekurang-kurang dua perkataan yang bertentang bunyi, dan kedudukan perkataan itu hendaklah bersetentang tempat yang betul dengan jodohnya, seperti gaharu dan cendana, tahu dengan bertanya dan sebagainya.

Pengamatan Audien

Pemantun yang baik ialah pemantun yang dapat mengamat-amati penonton yang menjadi pendengar atau khalayak.  Sebagai contoh mungkin pantun retorika dan kasih sayang sesuai dengan audiennya muda.  Contoh:
Layang-layang terbang melayang,
Sambung tali sambung benang;
Siapa bilang tiada sayang,
Siang malam terkenang-kenang. (2005:  184)

Layang-layang terbang melayang,
Tingginya sampai menyapu awam,
Siapa bilang abang tak sayang
Hati rindu bercampur rawan. (2005:  184)

Keris sempana Ganja Iras,
Bisanya empat puluh hari,
Ke mana panglima muda berhias,
Menegak adil membela diri. (2005:  642)

Pergi ke kedai membeli arang,
Bawa ke dapur memasak kerang,
Apa guna harimau garang,
Kalau tidak memakan orang. (2005:  644)

Kaedah Melafazkan Pantun

Pantun  berasal dari daerah Nusantara.  Maksudnya, pantun  tidak berasaskan  sumber asing seperti India, China, atau Jawa.  Pantun adalah milik orang Melayu, dihasilkan oleh manusia Melayu dan mencerminkan peribadi, nilai, dan minda Melayu. Pantun juga terdapat  dalam kebanyakan masyarakat peribumi di seluruh Kepaulauan Melayu, termasuk Selatan Filipina, juga di luar Dunia Melayu seperti Sri Lanka dan Wilayah Thai Selatan (Kajian Zakiah Hanum 1996: 183 dlm. Karya Agung:  Bingkisan Permata, 2001:  iix).  Oleh yang demikian, cara penyampaian pantun atau cara pengekspresiannya juga dengan cara yang kemelayuan atau sekurang-kurangnya kenusantaraan.  Maksud pemakalah adalah seperti subtopik yang berikut:

Mimik muka

Oleh sebab pantun khazanah Melayu yang betul (Pendeta Za’ba), maka semasa berpoantun, disyorkan si pemantun hendak bermanis muka, ceria, dan menunjukkan lambang insan yang tenang, berlapang dada, besahaja, dan tidak menggambarkan kegementaran, kekusutan, kesombongan, keangkuhan, dan keegoaan.  Sukar bagi saya menggambarkan mimik muka yang sedemikian.  Namun demikian,  pelakuan (mimik muka) boleh kita praktikkan jika kita mengamalkan cara pertuturan yang biasa dan tahu adat istiadat Melayu semasa bertutur dan mengeluarkan pendapat.

Nada suara

Bunyi dalam setiap baris pantun dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu lembut (rendah)  dan keras (tinggi).  Segala bunyi yang kedua (suku kata yang akhir bagi setiap perkataan diujarkan dengan nada suara yang tinggi atau keras (1961:  225 – 227).  Suku kata yang lain diujarkan dengan lembut.  Berdasarkan pendapat dan cara ini,  pantun  yang diucapkan itu dapat dihayati oleh pemantun dan pendengar.
Sila teliti contoh pantun-pantun yang berikut:

Anak merbah terlompat-lompat
Anak indong ketitiran
Yang dilelah tiada dapat
Yang dikendong berciciran.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Semua suku kata yang dicetak tebal dan mereng hendaklah ditinggikan nada suara apabila diujarkan.  Suku kata yang dicetak biasa hendaklah dilembutkan (nada rendah) suara apabila diujarkan.  Demikian juga pantun enam kerat atau lapan kerat, pengujarannya sama seperti penyebutan pantun empat kerat walaupun pantun enam dan lapan kerat kurang diminati oleh pemantun kerana maksudnya memerlukan masa yang lebih panjang untuk difahami.  Contoh:

Nyior gading tinggi menjulang,
Masak ketupat berisi inti,
Buah delima di dalam cawan;
Hancur daging berkecai tulang,
Belum dapat belum berhenti,
Hendak bersama denganmu tuan.

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang?
Entak bercerai entahkan tidak,
Entah makin bertambah sayang.

Bagi dua rangkap pantun  enam kerat di atas, semua baris, iaitu baris keempat, kelima, dan keenam (yang bercetak tebal dan mereng) ialah maksud pantun.  Sebagaimana yang dinyatakan, pantun ini walaupun lebih terinci tetapi penghuraian maksudnya lebih panjang.  Oleh yang demikian, pantun enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat kurang digemari oleh pemantun kerana lebih lama untuk memainkan nada suara, tinggi dan rendah apabila diujarkan.

Bahasa badan atau body language amat sesuai dipraktikkan apabila seseorang berpantun.  Hal ini demikian kerana si pemantun akan dapat menggunakan segala kekuatan suara (to express) semasa pantun diujarkan.  Bahasa badan yang tidak berlebihan (over acting) adalah digalakkan.  Hal ini ada signifikannya dalam penyampaian pantun secara lisan.  Pantun yang disampaikan hanya sekadar pernyataan maksud secara berangkap.  Oleh itu, jika bahasa badan digunakan secara berlebihan, unsur lakonan pula akan disebatikan dalam pengujaran pantun.  Pada hemat saya, aksi yang sebegini kurang sesuai.

Lebih-lebih lagi, apabila kita kaitkan ujaran pantun dengan unsur budaya, betapa lemah lembut orang Melayu berbicara, maka unsur kelemahlembutan ini perlu diamalkan semasa kita berpantun; sekadar mengangkat tangan pada tempat (pembayang dan maksud) yang sesuai dengan sopan.  Pelakuan ini boleh disekalikan dengan kerut muka, pandangan, kelipan, dan jelingan mata.  Jika yang berpantun seorang wanita pelakuan seperti ini akan memukau khalayak yang menghayatinya.  Contoh:
Baris-baris pantun
Cadangan Bahasa Badan
Apa guna pasang pelita (?)
-tunjukkan pergerakan tangan kanan
[tanda tanya]
[muka tepat dihalakan kepada   
pendengar]
[mata dengan pandangan biasa]
Kalau tidak dengan sumbunya
-aksi biasa dengan menunjukkan tapak tangan kanan kepada pendengar
[muka tepat dihalakan kepada pendengar]
[muka kehairanan]
Apa guna bermain mata
-halakan jari ke arah mata sendiri
[tanda tanya]
[muka kehairanan]
Kalau tidak dengan sungguhnya
-aksi biasa tetapi menunjukkan rasa tidak berpuas hati.


Rumusan
Pantun satu-satunya khazanah bahasa dan budaya Melayu yang indah yang tidak dimiliki oleh bangsa selain bangsa dalam rumpun Melayu.  Nilai tradisi Melayu ini (yang dinyatakan oleh Za’ba sebagai yang betul) hendaknya  janganlah diabaikan.  Jagailah khazanah ini dengan cermat dan perasaan sayang dan cinta.  Oleh itu, pemakalah mencadangkan supaya bentuk tradisi pantun Melayu dipatuhi atur peraturannya, iaitu dari sudut bahasa pengucapannya, kesopanan ketika mengujarkannya. Gaya bahasa yang harus dipelihara ialah dari sudut rima tengah dan hujung yang sama dan diksi yang sesuai.  Maksud sesuai di sini adalah sesuai dari sudut kelogikan makna dan nilai-nilai hidup yang  biasa dalam masyarakat kita.

Dari sudut teknikal pula, bilangan suku kata yang diizinkan dan yang biasa ialah lapan hingga dua belas suku kata ialah teknik yang  terbaik untuk pantun Melayu diujarkan.  Di samping itu, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Baku (ketatabahasaannya) dan sebutan berdasarkan fonemik.  Selain itu, kesopanan semasa berpantun amat dituntut kerana di sinilah letaknya kesepaduan nilai estetika dan kesopanan kita yang berbangsa Melayu.  Justeru, saya berharap dalamilah ilmu tentang pantun yang terdapat dalam budaya yang murni ini.  Semoga dengan penghayatan yang  mendalam dan memahami ilmu pantun, kita dapat menggunakan pantun pada masa yang sesuai.

.................................................................................................

PANTUN ADAT

Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.
Pantun adat diatas menunjukan salah satu adat melayu iaitu jika sudah berkenan dengan seseorang wanita hendaklah masuk meminang sebagai tanda pengikat bahawa perempuan itu sudah berpunya.

PANTUN AGAMA
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.
Pantun agama diatas bermaksud selepas sembahyang hendaklah memohon keampunan kepada tuhan.

PANTUN BERKAIT
Pantun jenis ini dinamakan berkait kerana ia dikaitkan dari serangkap ke serangkap dalam beberapa rangkap yang berturut-turut dengan cara diulang balik pembayang dan maksud akhir dalam setiap rangkap.Contoh pantun berkait seperti berikut:

Kenangan kasih
Burung serindit terbang sekawan,
Mati tersambar seekor merpati;
Sakit sungguh hambanya tuan,
Laksana kambing menggulai hati.

Mati tersambar seekor merpati,
Lantai balai berbelah-belah;
Laksana kambing menggulai hati,
Sudah didengar perintah Allah.

PANTUN BUDI (PANTUN EMPAT KERAT)
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.
Pantun budi diatas menunjukkan jika seseorang itu berbudi dia kan nampak tampan, segak, dan indah. Selain itu seseorang itu akan tinggi darjatnya jika bersopan santun dalam menggunakan bahasa.

PANTUN JENAKA
Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang
Pantun jenaka diatas menunjukan jenaka atau kelakar kerana ayam tidak mungkin berlumba berenang kerana ayam tidak tahu berenang.

PANTUN KANAK-KANAK
Lompat si katak lompat
Lompat di tepi 
pagar
Sekolah lekas dapat
Dan mesti rajin belajar
Pantun kanak-kanak diatas bermaksud kanak-kanak mesti cepat pandai dan mesti rajin belajar.

PANTUN KASIH SAYANG
Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.
Pantun kasih sayang diatas bermaksud kalau sudah sayang kita akan nampak orang yang disayangi itu cantik, baik dan segalanya sempurna. Walaupun dimata orang lain tidak nampak.

PANTUN KEPAHLAWANAN
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.
Pantun kepahlawanan diatas membawa maksuk seorang pahlawan mestilah berani dan tidak boleh sesekali mengalah.

PANTUN NASIB
Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja di Juddah;
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah.
Maksud: Banyak masalah yang mampu kita hadapi tetapi masalah PERCINTAAN sukar untuk diubati.

PANTUN NASIHAT
Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.
Pantun nasihat diatas memberi nasihat bahawa jika semakin banyak ilmu yang ada dalam diri hendaklah semakin merendah diri supaya tidak menjadi orang yang takbur dan bongkak.

PANTUN PERANTAU
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.
Pantun perantau diatas bermaksud nasib perantau yang merantau di tempat orang yang banyak kesusahan.

PANTUN PERIBAHASA
Berakit-rakit kehulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian
Pantun diatas diambil untuk dijadikan peribahasa dalam bahasa melayu yang memberi maksud untuk menjadi senang seseorang itu perlu bersusah-susah dahulu.

PANTUN TEKA-TEKI
Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?
Pantun empat kerat jenis teka-teki diatas membawa maksud jika seseorang mati atau hidup mesti ada asal usulnya. Selain itu, orang mati mesti ada kubur.

No comments: