LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Syair


13.       SYAIR
13.1    Pendahuluan
Seperti juga pantun, syair ialah karya kreatif lisan genre puisi tradisional. Pada awalnya digunakan secara meluas di nusantara untuk menyebarkan ajaran tasauf (sufi) selain untuk tujuan bercerita.
            Istilah syair berasal daripada perkataan Arab shi’r (puisi / sajak) dan sha’ir (penulis puisi / penyajak). Syair mula diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri dan berkembang selepas kematiannya pada 1630. Dipercayai bentuk prototaip syair tertulis pada 1380 di batu nesan Minye Tujuh, Acheh.
13.1.2  Ciri Syair
Syair mempunyai ciri yang berikut:
(i)         Empat baris serangkap.
(ii)      Jumlah perkataan ialah 3 – 4 perkataan sebaris dengan bilangan suku  
    kata   antara 8 – 12.
(iii) Skima rima hujung ialah a,a,a,a dan rima tengah tidak dipentingkan.
(iv)       Wujud hentian sebentar (pause) di pertengahan baris dan jeda (caesura) di hujung baris – pertukaran lengguk suara dan melodi.
(v)      Keseluruhan baris ialah satu kesatuan idea.
(vi)       Syair tidak boleh berdiri sendiri sebagai satu rangkap. Sebaliknya, keseluruhan rangkap ialah satu kesatuan idea.
(vii)      Isinya bercorak cerita atau huraian panjang tentang sesuatu subjek. Bahasanya puitis.
(viii)    Sesebuah syair ialah satu cerita yang lengkap (mengandungi watak, urutan peristiwa, plot seperti cereka).
13.1.3  Cara Mendendangkan Syair
Syair boleh didendangkan dengan pelbagai versi lagu atau melodi. Ada teks / naskhah tertentu didendangkan dengan melodi lagu yang khusus. Misalnya:
3.1 Lagu Selendang Delima (teks syair Selendang Delima)
Lagu syair ini digunakan secara meluas oleh pelajar dan guru di sekolah serta masyarakat umum untuk mendendangkan syair.
3.2 Lagu Siti Zubaidah (teks syair Siti Zubaidah)
Lagu ini popular di Pahang dan Terengganu.
3.3 Lagu Rakis (teks Syair Rakis – karangan Almarhum Pangeran Shahbandar Pangeran Mohamad Salleh).
Popular di Brunei dan Sarawak.
3.4 Lagu Narasi
Popular di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Contoh lagu-lagu yang dinyatakan di atas boleh di dapati di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
13.1.4 Panduan Mendendangkan Syair
4.1 Suara
Suara adalah penting untuk mendendangkan syair. Suara ialah sifat semula jadi. Oleh itu tidak semua orang boleh mendendangkan syair dengan suara yang baik. Namun, dengan latihan yang berterusan, sekurang-kurang dapat membantu pelajar memelodikan syair dengan baik dan berkesan.
4.2 Hayati tema
Untuk mendendangkan syair dengan baik dan berkesan, kita perlu menghayati tema. Tema penting dan ada kaitan dengan cara melagukan syair. Selain itu, pelajar harus tahu tentang mod syair tersebut kerana aspek ini juga mempengaruhi bentuk / lagu syair.
4.3 Melodi syair
Pada dasarnya melodi syair berbentuk perlahan atau mendayu-dayu. Hal ini demikian kerana mesej syair ialah berkait dengan perasaan yang harus dinikmati melalui penghayatan rasa dan sentuhan kalbu.
4.4 Patah kata dan lenggok lagu mengikut baris
Kita perlu memahami dan menghayati setiap patah kata dalam baris. Cara ini penting untuk kita mengujarkan patah kata dengan lenggok yang sesuai yang boleh menimbulkan kesan rasa kepada pendengar.

4.5 Skema muzik / melodi
Secara umumnya bagi mana-mana puisi tradisional, termasuk syair, muzik katanya ditandai oleh empat bentuk skema rima, iaitu:
-       Suara mendatar
-       Suara meninggi
-       Suara merendah
-       Suara beralun
Gabungan skima muzik ini menerbitkan tingkah suara yang mempengaruhi alunan kata dan muzik puisi tradisional. Di sinilah terletaknya keindahan pengucapan atau dendangan puisi berkenaan.
4.6 Perhentian pada patah kata
Apabila mendendangkan syair, kita perlu memastikan bahawa kita berhenti atau mematahkan kata pada tempat yang sesuai kerana perhentian ini mempengaruhi makna dan juga kesan emosi pendengar.
Contoh:
Orang berilmu / sukar dicari,
Sehari-hari / memencil diri,
Hanya manikam / kenal jauhari,
Bila bercakap / merendah diri.
Dalam syair di atas, tanda (/) melambangkan tanda perhentian yang sepatutnya kerana perhentian tersebut mengujarkan frasa yang bermakna. Jika bilangan perkataan tidak seimbang, maka kita buat perhentian mengikut bilangan suku kata. Misalnya, perhatikan rangkap sajak yang berikut:
Tersebutlah perkataan / Bidasari, (3 perkataan)
Setelah malam / sudahlah hari, (4 perkataan)
Bangunlah ia / seorang diri, (4 perkataan)
Makan dan minum, / barang yang digemari. (6 perkataan)

No comments: