LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Seloka


SELOKA EMAK SI RANDANG

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang  lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak dipangku diletakkan,
Kera di hutan disusui
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Baik budi Emak Si Randang,/ Dagang  lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,/ Anak pulang kelaparan,
Anak dipangku diletakkan,/ Kera di hutan disusui
Dagang pergi awak terhutang,/ Beras habis padi tak jadi.

Harga Remaja T4, Md. Ali Bachik
(Melodi;  Diperkenalkan Roslan Madun)


SELOKA PAK KADUK

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

Puisi Melayu Tradisional, 1997
Dewan Bahasa dan Pustaka

Anak Laut, hlm. 5


SELOKA PANDAI PAK PANDIR

Anak dipijak dagang dijinjing,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh di langit,
Air di tempayan dicurahkan,
Mulut kena suap pisang,
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung,
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan;
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram,
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga berkecundangan.

Puisi Melayu Tradisional, 1997
Dewan bahasa dan Pustaka

Kerusi, hlm. 9


SELOKA PANDAI PAK PANDIR (2)

Pandai-pandai wahai Pak Pandir
Anak dipijak dagang dijinjing,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Akhirnya tak sedar bertelanjang,
Pantang mendengar guruh di langit,
Air tempayan dicurahkan,
Mulut manis disuap pisang,
Buntut sakit dicangkuk onak,
Gunting lipatan makan di hujung,
Pak Pandir jugalah yang menanggung,
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak si rambutan jantan;
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah tapi dia haram,
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak jugalah yang menanggung
Silap-silap menabur budi
Kita rugi orang yang untung
Pandai-pandai wahai Pak Pandir
Diri sendiri juga menanggung
Pndai-pandai wahai Pak Pandir
Kisah benar bukan menyinggung.

Puisi Melayu Tradisional, 1997
Dewan bahasa dan Pustaka

Kerusi, hlm. 9 – disesuaikan.

(Melodi; Diperkenalkan oleh Ali Bachik/ Roslan Madun)



No comments: