LENTERA KATA

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
GURINDAM MENATAP RAMADAN
Bulan Ramadan bulan berkat
Allah mengurniai sejuta rahmat.

Puasa menjana ketahanan insan
agar tabah hadapi dugaan

Falsafah puasa perlu dicerna
Bukan sekadar berlapar dahaga.

Zakat fitrah lunaskan segera
agar si miskin membutir ceria.

Tadarus Quran jadikan amalan
memberi petunjuk penunjuk jalan.

Aktiviti harian seperti biasa
jangan diri diulit lena.

Lailatul Qadar inspirasi insan
gandakan ibadat penuh keikhlasan.

Usah hanyut di pesta juadah
elak pembaziran hindari musibah.

Sedekah derma amalan mulia
menyuci diri meminggir dosa.

Solat tarawih menambah pahala
agar umat membina takwa.

Keberkatan Ramadan dihayati bersama
keagungan Islam ditatang dijelmakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor.

Saturday 4 August 2012

Medan Kata


Medan kata merujuk kepada unsur-unsur serta gaya pemakaian bahasa sesebuah puisi. Ruang lingkup medan kata adalah seperti yang berikut:

Diksi : Pemilihan dan penggunaan kata khusus secara puitis yang ditulis secara sedar untuk melahirkan kesan rasa dan makna dalam puisi. Diksi yang baik dinilai daripada aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan.
Contohnya:  berkerlipan bintang kejora

Imej / citra alam: Gambaran atau tiruan bentuk atau objek alam yang tergambar dalam fikiran, dicipta atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkrit kepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan  objek alam bagi menggambarkan kesan rasa dan makna.
Contoh: bulan, laut, bunga mawar, selasih, rama-rama, undan

Kiasan: Kata atau ungkapan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu dengan cara bersandarkan atau membandingkan sifanya dengan sesuatu yang lain agar pernyataan menjadi lebih jelas dan memberi kesan serta makna khusus. Mungkin dalam bentuk bandingan atau tanpa bandingan.
Contoh: pahit bagai hempedu; tinggi menggunung

Rima: Persamaan gugus kata daripada segi vokal atau konsonan yang timbul pada awal, tengah, dan hujung baris puisi. Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada susunan perkataan dalam sebaris puisi dikenali rima dalaman.
Contoh: sekuntum bunga biru
Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada hujung baris puisi dikenal sebagai rima luaran.
Contoh:
Sekuntum bunga biru
Yang luruh di penjuru itu
Adalah seorang aku
Yang merinduimu

Aliterasi: Pengulangan bunyi konsonan dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
Kelam menyelubugi malam

Asonansi: Pengulangi bunyi vokal dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
Melangkah gadis menahan denyutan

Rentak: Tingkahan tinggi-rendah, panjang-pendek, cepat-lambat suara sewaktu melafazkan puisi dan memberikan kesan perasaan terhadap suara pembaca.

Jeda: Titik perhentian seketika, perlaihan atas nafas sewaktu melafazkan puisi, berguna untuk menimbulkan kesan tumpuan dan imaginasi terhadap bahasa dan muzik kata; ditandai dengan (,) atau (;).
Contoh:
Kalau nak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si ranting pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan terkenang orang yang jauh.

Simili: Tamsil atau kiasan yang membandingkan dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama secara langsung, menggunakan perkataan bandingan. Contoh:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Metafora: Kiasan atau analogi yang melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain bagi menyarankan antara kedua-duanya terdapat kesamaan tanpa menggunakan kata bandingan.
Contoh:   lautan kasih, gunung harapan, api kemarahan

Personifikasi: Bandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda, objek, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak.
Contoh:
Bulan tersenyum rawan
Damai melambai senja
Beburung bersiul girang

Hiperbola: Kiasan dalam bentuk ungkapan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan, digunakan bagi menguatkan makna.
Contoh: 
perahu lilin layar kertas
menyeberangi lautan api
menggapai gunung nan tinggi

Sinkof:  Singkatan kata untuk mempercepat rentak bahasa atau merendahkan perasaan / emosi. Contoh: ku, mu, tak, dah

Inversi: Pembalikan kata untuk menguatkan kesan rasa terhadap sesuatu.
Contoh:
Akan kupinta l buih-buih,
Menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang,
Menjadi hamparan ranjang tidurmu.

Anafora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada awal baris dalam dua baris atau lebih. Contoh:
Aku cinta padamu laut
Aku sayang padamu camar
Aku rindu padamu kedamaian

Epifora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada akhir baris bagi dua baris atau lebih. Contoh:
Sekuntun bunga biru
Sehampar laut biru

Imejan: Puisi yang mengandungi banyak perkataan yang menggambarkan objek atau perlakuan yang membentuk simbol, lambang atau kod untuk menggambarkan sikap dan perasaan penyair. Contoh:
Segar angin laut
Mengembalikan rindunya pada kolek
Bagi buih kecil
(angin, laut, kolek, buih kecil – imej kepada kehidupan nelayan yang  
miskin)

Nada: Sikap pengarang terhadap objek atau ideanya, mungkin bercorak romantis,

Melakolis, patriotis, sinis, dan lain-lain. Dalam puisi, nada lahir daripada gabungan atau variasi unsur diksi, rima, aliterasi, asonansi, imejan dan simbol. Contohnya, sajak “Keindahan yang Hilang (Kerusi halaman 15) bernada sedih dan melankolis.


No comments: